Pelaksanaan inisiatif Smart 600 disambut baik – Mohamad Shafizan

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan inisiatif Smart 600 bagi membina 600 menara di seluruh negeri disambut baik.

Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli berkata, Smart 600 dilaksanakan bagi menambahbaik liputan internet dan jaringan komunikasi di Sarawak.

Dalam hal ini, beliau berharap agar kesemua menara ini kelak dapat beroperasi sepenuhnya dan bukan hanya sekadar ‘naked tower’ semata-mata.

“Saya juga menyarankan kepada pihak Kementerian Digital agar memberi penekanan terhadap kualiti perkhidmatan yang disampaikan bagi menggerakkan rakyat Malaysia ke arah dunia serba digital,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengambil bahagian dalam Perbahasan RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 semasa Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dalam masa sama, belau berharap penguntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM182.3 juta dan peruntukan pembangunan sebanyak RM1.85 bilion ini dapat memacu Kementerian Digital sebagai sebuah Kementerian baharu yang terus memacu gelombang digitalisasi di Malaysia.