KUCHING: Kerajaan Sarawak mengarahkan kerja naik taraf dan baik pulih fasiliti sukan sebagai venue Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di negeri ini disiapkan sepenuhnya Jun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana terdapat sebanyak 45 fasiliti sukan di lima bahagian yang terlibat sedang dinaik taraf atau dibaik pulih pihak bertanggungjawab.
“Kesemua lokasi untuk menganjurkan acara sukan terulung negara itu perlu sedia dan siap sepenuhnya Jun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran motosikal elektrik EBIXON di Muzium Budaya Borneo (BCM), di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, terdapat fasiliti terbabit yang hampir siap dan pihaknya sentiasa mengambil tahu setiap perkembangan fasiliti terbabit memandangkan tarikh SUKMA Ke 21 itu pada Ogos ini semakin dekat.
Selain itu, beliau juga mendedahkan Sarawak masih menunggu bantuan kewangan dari Kerajaan Persekutuan bagi menganjurkan SUKMA Ke-21 pada Ogos ini.
