Pembangunan Sebauh perlu seiring kemajuan Bintulu

SEBAUH: Pembangunan infrastruktur di daerah ini perlu selari dengan kemajuan pesat bandar Bintulu bagi memastikan penduduk luar bandar turut merasai manfaat pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, pembinaan seperti jambatan dan jalan raya bukan sekadar meningkatkan kemudahan asas, malah membuka peluang ekonomi.

Ini sekali gus memudahkan pergerakan penduduk serta perniagaan di kawasan tersebut.

“Kami mahu memastikan pembangunan Sebauh tidak ketinggalan dan mampu berkembang seiring dengan bandar Bintulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat status pelaksanaan projek khas Premier Sarawak dan cadangan projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi daerah Sebauh di Pejabat Daerah Sebauh, semalam.

Jelas Rundi, semua projek dirancangkan itu akan dipantau secara berterusan bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual demi kesejahteraan penduduk dan masa depan pembangunan Sebauh.

Antara projek yang dibentangkan termasuk pembinaan Gereja Roman Katolik Sebauh yang dijangka bermula pada April 2025 dan Masjid Daerah Sebauh yang dijadual siap pada Julai 2026.

Selain itu, projek Tebingan Sungai Sebauh kini berada di peringkat penyaluran dana bagi memulakan kerja-kerja awal pembinaan.

Sementara itu, Jambatan Sebauh mencapai tahap 60 peratus siap dan dijangka selesai pada Januari 2026, manakala Jambatan Besi Sungai Binyo mengalami kelewatan akibat banjir dengan hanya mencapai 45 peratus kemajuan setakat ini.