Pavillion Sarawak kongsi aspirasi ekonomi digital di Barcelona

BARCELONA: Kerajaan Sarawak melancarkan Pavillion Sarawak secara rasmi sempena Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) Barcelona 2025 yang berlangsung pada 3 hingga 6 Mac ini.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas diberi penghormatan untuk merasmikan pelancaran Pavillion Sarawak itu.

Pelancaran itu menandakan pencapaian dalam perjalanan Sarawak untuk menjadi peneraju serantau dalam transformasi digital, teknologi pintar dan pembangunan mampan.

Ia berfungsi sebagai platform untuk pelabur global, pemimpin teknologi dan perniagaan bagi meneroka peluang-peluang besar yang ditawarkan oleh Sarawak.

Menurut Uggah, pelancaran Pavillion Sarawak di MWC Barcelona 2025 menekankan komitmen negeri ini membina ekonomi digital yang berkembang maju, memperluas inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan menggalakkan kerjasama industri untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Sarawak mempercepatkan transformasi digitalnya, memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), 5G, pengkomputeran awan, dan IoT untuk mewujudkan peluang perniagaan baru dan memperbaiki kesejahteraan komuniti.

“Pavillion Sarawak di MWC Barcelona menunjukkan kesediaan Kerajaan Sarawak untuk berkolaborasi, berinovasi dan berkembang bersama rakan kongsi global,” katanya.

Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata, inisiatif ini akan membolehkan Sarawak memanfaatkan kepakaran global, meneroka penyelesaian inovatif dan membentuk kerjasama yang memacu pertumbuhan digital dan ekonomi yang mampan.

“Tahun ini, kami memperluaskan penglibatan melalui sesi padanan perniagaan, peluang rangkaian dan perbincangan peringkat tinggi untuk memperkukuh kerjasama dengan pemimpin teknologi global, pelabur dan pakar industri.

Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS) Datuk Abdullah Saidol.