KUCHING: Program Khas Pengakuan Sukarela 2.0 (PKPS 2.0) disertai lebih 50,000 pembayar cukai pendapatan setakat ini yang akan berakhir pada 31 Mei ini.
Program ini bermula sejak 1 Jun 2023 dengan jaminan bahawa setiap pelaporan yang dikemukakan akan diterima secara suci hati dan sifar penalti.
Ketua Pegawai Esekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, nilai cukai yang boleh dikutip dari program terbabit setakat ini berjumlah RM890 juta.
“Kita jangkakan mungkin lebih ramai lagi yang akan mengambil peluang untuk menyertai program ini kerana tidak akan mengenakan penalti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra dan Hari Raya HASiL Bersama Media Sarawak 2024 di Akademi Percukaian Malaysia Kuching di sini, hari ini.
Menurutnya, LHDN tidak akan membuka kembali tahun di mana pembayar cukai terbabit membuat pelaporan dan memperbetulkan apa juga kesilapan yang dilaporkan sebelum ini.
“Selepas berakhirnya program ini nanti, maka jika satu kes itu diaudit, akan ada penalti yang akan dikenakan jika ada cukai tambahan dibangkitkan dalam lingkungan 15 ke 45 peratus ,” tambahnya.
Katanya, ini juga bergantung kepada sama ada kesalahan itu yang pertama, kedua atau ketiga dan bagi mengelakkan penalti terbabit menyarankan pembayar cukai pendapatan menyertai program itu.
Selain itu, beliau juga mendedahkan LHDN berjaya mengutip sebanyak RM183.4 bilion cukai tahun lalu dan mensasarkan mengutip cukai sebanyak RM197 bilion tahun ini berdasarkan pengumuman belanjawan lalu.
