KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Negara Ke-20, Senator Datuk Mutang Tagal ,70, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, jam 11.46 pagi hari ini.
Menurut kenyataan media Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara, beliau telah menerima rawatan di IJN sebaik sahaja tiba di Malaysia 6 Mei lalu dari Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.
“Maklumat lanjut berkenaan pengebumian dan majlis penghormatan beliau akan dimaklumkan kemudian,”menurut kenyataan itu.
Beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga anak dan keluarga mendiang mengucapkan terima kasih atas kiriman takziah serta doa yang diberikan dan menghargai ruang masa diberikan kepada mereka dalam menghadapi masa sukar ini.
Mendiang merupakan Orang Ulu yang pertama dipilih menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara dan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Februari 2024.
Beliau mempunyai latar belakang pendidikan dan praktis dalam bidang perundangan serta pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak pada 1982 hingga 1990.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) menzahirkan rasa dukacita dan takziah atas pemergian Senator Datuk Mutang Tagal.
Sesungguhnya, katanya pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada negeri Sarawak dan negara.
“Mendiang mencipta sejarah tersendiri apabila dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara Ke-20 Februari lalu, menjadi orang Dayak pertama dari etnik Lun Bawang memegang jawatan itu,” katanya dalam kenyataan.
Alexander yang juga Setiausaha Agung GPS dan Parti PBB berkata, sejak penglibatan mendiang di dalam politik, Mutang memainkan peranan penting dalam membantu parti dan komuniti Lun Bawang mengetengahkan peranan mereka dalam bersama-sama membangunkan negeri Sarawak.
“Mendiang bukanlah satu figura asing kepada saya.
“Saya masih mengingati sejarah penglibatan beliau di dalam politik Sarawak di mana ayah saya, Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi yang merupakan Setiausaha Agung Parti PBB pada ketika itu, telah memainkan peranan penting membawa mendiang menyertai Parti PBB pada tahun 70an, sebelum menjadi Ahli Yang Berhormat dari 1980-an hingga 1990-an.
“Beliau bukan hanya sekadar rakan seperjuangan di dalam politik tetapi juga merupakan kenalan rapat kepada saya dan seluruh ahli keluarga,” katanya.
