Cadangan bina tapak Pesta Maqak, Kompleks Sukan Pemotoran DUN Jepak

KUCHING: Kerajaan dicadangkan agar membina tapak untuk Pesta Maqak (Bubuk) di Pantai Jepak di Bintulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee mencadangkan tapak terbabit kerana pihaknya yakin ia mampu membantu meningkat industri pelancongan dan menjanakan ekonomi penduduk setempat.

“Tapak Pesta ini boleh dilengkapi dengan kemudahan seperti Food Court, Taman Rekreasi, Waterfront, Canopy Walk, Jungle Trekking, Mountain Bike Trek dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan usul penghargaan ke atas Yang di-Pertua Negeri di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, semalam.

Disamping itu, Iskandar berkata selari dengan visi “Sport For All By 2030” yang dibawa oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, mereka juga memohon untuk membina Kompleks Sukan Pemotoran di DUN Jepak.

“Ini penting dalam menyalurkan minat golongan belia secara sah dari sudut perundangan serta mengekang isu sosial seperti lumba haram, pelancongan sosial dan sebagainya,” katanya.