Pembukaan Pejabat Wilayah AFFIN bantu pertumbuhan ekonomi Sarawak

KUCHING: Kumpulan Affin (AFFIN Bank) memperluaskan rangkaian khidmatnya di Malaysia Timur dengan membuka Pejabat Wilayah Cawangan dan Pejabat Korporatnya di bangunan Hikmah Exchange di sini hari ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg secara rasminya melancarkan pembukaan pejabat wilayah itu di bawah Pelan AFFIN Exelerate 2028 (AX28).

Berucap pada majlis itu, beliau berkata, pembukaan pejabat wilayah itu mencerminkan komitmen Kumpulan AFFIN menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak sambil membangunkan khidmat kewangan inklusif untuk kemakmuran jangka panjang di rantau ini.

Beliau berkata, untuk mencapai matlamat Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030, Sarawak memerlukan Syarikat Kewangan (bank) yang memahmi keperluan negeri dan dekat dengan rakyat.

“Mulai hari ini, keputusan boleh dibuat di Kuching, Dekat sahaja dan senang untuk berunding tanpa perlu menunggu dan pergi jauh,” tegas beliau.

Pejabat Wilayah Kumpulan AFFIN itu, tambahnya, menawarkan khidmat kepakaran, kebenaran dan penyelesaian kewangan kepada perniagaan, PKS dan masyarakat.

Terletak di Tingkat 10, Bangunan Hikmah Exchange iaitu bangunan pintar pertama di negeri ini, pejabat wilayah itu adalah hab peruncitan perbankan, khidmat korporat dan penasihat pelaburan di bawah satu bumbung.

Pelanggan akan menikmati kemudahan lengkap yang direka khusus untuk memenuhi pertumbuhan ekonomi yang cekap dan secara digital.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah dalam ucapan aluannya berkata, Cawangan Hikmah Exchange Pejabat Wilayah dan Korporat Sarawak itu menandakan langkah penting Kumpulan AFFIN untuk memberi perkhidmatan lebih cekap di Malaysia Timur.

Pada majlis itu, Abang Johari turut melancarkan Kad Kredit Borneo AFFIN dan Ruang Simpanan Selamat Automatik.

Wan Razly berkata, bermula dengan enam cawangan, setakat ini AFFIN Bank mempunyai 13 cawangan di seluruh Sarawak dengan lapan daripadanya di Kuching.

Bercakap kepada media kemudian, Premier Sarawak berkata, dengan pelancaran Kad Kredit Borneo AFFIN akan memudahkan pelanggan untuk mendapat perkhidmatan ditawarkan AirBorneo.