Pendidikan awal enam tahun bantu elak kelewatan intervensi pembelajaran

KUCHING: Pelaksanaan kemasukan murid ke sekolah seawal usia enam tahun serta cadangan ujian penilaian di Darjah Empat dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh asas pendidikan dan mengelakkan kelewatan intervensi pembelajaran.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, walaupun dasar pendidikan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, pendekatan berkenaan bukan sesuatu yang asing dan pernah diamal dalam sistem pendidikan terdahulu.

“Pendidikan awal melalui prasekolah dan tadika memainkan peranan penting dalam membentuk kemahiran sosial serta kesiapsiagaan kanak-kanak sebelum melangkah ke pendidikan formal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Token Tamat Program bagi kohort pertama Program Penguasaan Semikonduktor Reka Bentuk IC Digital SMD Semiconductor–CENTEXS di Akademi SMD, hari ini.

Beliau turut menolak kebimbangan berkaitan murid luar bandar dengan menyatakan kerajaan telah memperluas akses pendidikan awal menerusi pelbagai kemudahan termasuk KEMAS dan program pendidikan yang dilaksanakan kerajaan negeri seperti SEDIDIK Sarawak.

Mengulas ujian Darjah Empat, Sagah menjelaskan penilaian tersebut berfungsi sebagai mekanisme pengesanan awal tahap penguasaan murid dan bukannya bertujuan menghukum, bagi membolehkan sokongan pembelajaran diberikan lebih awal.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan Ujian Penilaian Darjah Enam Negeri Sarawak (UPDNP) akan diteruskan seperti dirancang dan tidak terjejas dengan pelaksanaan ujian Darjah Empat kerana mempunyai fungsi berbeza termasuk bagi tujuan kemasukan ke institusi tertentu.

Hadir sama, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak merangkap Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar.