SUKSAR IV: Medan persaingan atlet muda Sarawak

KUCHING: Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 akan melibatkan penyertaan seramai 257 atlet di Sri Aman dan Betong mulai 5 hingga 8 Februari depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata mereka dari Zon Utara, Tengah, Barat dan Selatan yang akan bertanding 11 jenis sukan antaranya angkat berat, berbasikal, bola jaring, bola keranjang, karate, ping pong, petanque, sepak takraw, softball, taekwondo dan tinju.

“Sebanyak 105 pingat emas, 105 pingat perak dan 135 pingat gangsa ditawarkan, menjadikan kejohanan ini medan persaingan yang kompetitif dan signifikan dalam mengukur tahap prestasi atlet muda Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Sukan Sarawak (SUKSAR) IV di Bangunan Baitul Makmur di sini hari ini.

Abdul Karim berkata, SUKSAR kali ini juga menjadi medan pencarian atlet terbaik bagi mempertahankan kejuaraan Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, Ogos depan.

Majlis perasmian SUKSAR IV 2026 akan disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada 4 Februari depan.

Manakala, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menyempurnakan majlis penutupan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman pada 8 Februari depan.