KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan memperkukuhkan peranan sejajar aspirasi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
Rancangan terbabit dilancarkan Perdana Menteri pada 20 Januari. lalu.
Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, RPN menekankan pendidikan inklusif, adil, berkesan dan berpandangan jauh dari peringkat prasekolah hingga ke universiti.
Manakala, RPTM menekankan kesinambungan pendidikan tinggi, pembangunan bakat, kelestarian, dan penyelidikan berimpak kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Sejajar dengan itu, UNIMAS memperkukuh peranannya sebagai universiti awam di Borneo dengan menjadikan kelestarian, perluasan akses pendidikan tinggi yang saksama, keterangkuman, serta pemerkasaan TVET dan laluan fleksibel pembelajaran sebagai teras transformasi institusi,” katanya dalam kenyataan media UNIMAS.
Ahmad Hata berkata, UNIMAS juga menyahut aspirasi ini melalui pelaksanaan Dasar ESG (Environmental, Social and Governance) dan Pelan Tindakan Kampus Rendah Karbon 2030.
Tambahnya pengiktirafan UNIMAS sebagai Naib Pengerusi (Jalinan dan Kerjasama) Hub SDG 15 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations, UN), yang memfokuskan kepada pemuliharaan biodiversiti dan ekosistem daratan, memperkukuh kedudukan universiti sebagai peneraju pendidikan tinggi berteraskan kelestarian.
“Integrasi teknologi tenaga solar di seluruh kampus serta pencapaian cemerlang dalam Times Higher Education (THE) World Impact Rankings 2025 membuktikan komitmen UNIMAS terhadap penyelidikan berimpak dan transformasi komuniti lestari,” tambahnya.
