KUCHING: Kerajaan Sarawak bercadang menubuhkan Mahkamah Utama Syariah Sarawak bagi menambah baik sistem tadbir urus kehakiman syariah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini juga memberikan keadilan kepada pihak
yang terkesan serta memperkukuh keyakinan masyarakat Islam terhadap sistem keadilan syariah.
“Saya berpandangan bahawa peningkatan hierarki mahkamah syariah daripada tiga kepada empat peringkat melalui penubuhan Mahkamah Utama Syariah Sarawak merupakan satu langkah strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Makan Malam sempena Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2026 yang juga dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di sini, malam tadi.
Namun, Abang Johari berpendapat peningkatan hierarki ini harus diiringi dengan peningkatan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan warga mahkamah syariah.
Katanya, di samping itu penyediaan infrastruktur kondusif untuk pelanggan dan kakitangan mahkamah serta pertambahan sumber manusia bagi memastikan sistem kehakiman dapat berfungsi dengan efisien.
