MA63: Sarawak perlukan autonomi luas bidang kesihatan, atasi kekurangan tenaga kerja

KUALA LUMPUR: Sarawak memerlukan autonomi yang lebih besar dalam bidang kesihatan, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),
kata Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Seri Doris Sophia Brodi.

Katanya, ia bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja perubatan yang berlarutan.

Beliau menyifatkan isu kekurangan doktor, pakar dan jururawat di negeri ini bukan lagi isu angka, tetapi soal hidup dan mati rakyat.

“Sarawak berdepan kekurangan 1,817 pegawai perubatan termasuk 246 pakar dan 2,300 jururawat. Ini bukan isu baharu, namun tindak balas masih perlahan, menimbulkan persoalan sama ada masalah ini berpunca daripada kekurangan sumber atau kekurangan keutamaan.

“Lebih merisaukan, agihan tenaga perubatan amat tidak seimbang banyak klinik luar bandar di negara ini langsung tiada doktor, atau hanya seorang bagi 2,000 penduduk,” katanya semasa membahaskan Titah Diraja 2026 pada Persidangan Parlimen, semalam.

Situasi ini katanya diburukkan lagi dengan kadar “no-show” yang tinggi, lebih separuh doktor ditempatkan ke Sarawak tidak melapor diri, menimbulkan persoalan serius tentang pemantauan dan akauntabiliti sistem.

Katanya, ramai pegawai perubatan dan pakar meninggalkan sektor awam ke sektor swasta atau ke luar negara akibat gaji tidak setimpal, beban kerja melampau, peluang kerjaya terhad serta cadangan pemotongan elaun wilayah yang menjadi ‘nadi’ untuk mengekalkan petugas di pedalaman.

“Hospital utama seperti Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Pusat Jantung Sarawak kini beroperasi melebihi kapasiti, manakala wad tidak dapat dibuka kerana kekurangan kakitangan.

Klinik luar bandar pula uzur, sebahagiannya tanpa bekalan elektrik 24 jam, air terawat dan internet yang lemah dan tidak stabil, katanya.

“Akibatnya, ramai pesakit kanser hanya dikesan pada peringkat lewat, dengan tempoh menunggu yang panjang sehingga ada yang meninggal dunia,” tegasnya lagi.

Justeru, beliau menggesa agar tindakan segera diambil oleh Kementerian Kesihatan dengan menyediakan insentif pedalaman yang realistik, pemantauan penempatan dengan lebih tegas serta mempercepatkan naik taraf fasiliti bagi menangani krisis perubatan negara.