MUKAH: Projek menaik taraf sistem saliran di Jalan Muhibah dan Jalan Kampung Kuala Lama di sini kini telah siap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 tersebut merupakan langkah penyelesaian jangka pendek bagi menangani isu banjir kilat yang sering berlaku khususnya di sekitar Jalan Muhibah.
“Projek berkenaan turut melibatkan pembinaan dua saluran keluar bagi memastikan lebihan air hujan dapat dialirkan dengan lebih berkesan dari kawasan penempatan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan sesi serah siap projek daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Lama, di sini, semalam.
Royston menjelaskan bahawa langkah seterusnya adalah untuk memperbesarkan saluran keluar di bawah Jalan Utama Haji Mohd Pauzi ke sungai Kuala Lama.
Katanya, fokus tertumpu di kawasan usang serta sempit dan wajib dikaji semula serta dinaiktaraf selari dengan pembangunan perumahan dan juga rumah kedai yang dibina di sekitarnya.
