Town Square modenkan Saratok

SARATOK: Cadangan pembinaan Saratok Town Square sebagai pusat tumpuan aktviti ekonomi dan sosial akan mengubah bandar Saratok dalam masa beberapa tahun akan datang.

Cadangan projek itu dibentangkan dalam sesi libat urus dan taklimat reka bentuk di Perpustakaan Awam Saratok di sini dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri dan ADUN Krian, Friday Belik, serta dipengerusikan Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid.

Mohamad Duri berkata, projek yang dikendalikan JRC Architects and Landscape Design Associations itu menekankan elemen kontemporari dan mesra komuniti bagi memenuhi keperluan penduduk.

Menurutnya, Saratok Town Square akan dilengkapi 30 unit gerai berbumbung berkonsep moden, kemudahan rekreasi termasuk padang bola keranjang, ruang parkir luas serta tapak khas untuk pasar malam.

Beliau berkata, kemudahan pasar malam dan ruang awam yang selesa diyakini mampu menarik kehadiran orang ramai, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi peniaga kecil dan usahawan tempatan.

Mohamad Duri berkata, pembangunan itu merupakan sebahagian daripada pelan menyeluruh di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang memberi fokus kepada pembangunan seimbang di kawasan luar bandar.

Selain Town Square, beberapa projek lain turut dirancang di Saratok termasuk pembangunan Tebingan Sungai Krian, pembinaan dewan masyarakat baharu serta naik taraf Mini Stadium Saratok.