PTAR UiTM Sarawak tampilkan naib canselor wanita pertama

KOTA SAMARAHAN: Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak menganjurkan program menampilkan tokoh kepimpinan wanita tersohor negara di Kampus Samarahan 2, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan media UiTM, Program Siri Telaah: Pawana Ingatan bertajuk “Menakluk Puncak Dunia: Sentuhan Srikandi” terbabit menampilkan Naib Canselor wanita pertama bagi
universiti awam terbesar di Malaysia, Datuk Ts. Dr Roziah Mohd Janor.

Beliau berkongsi perjalanan kepimpinan, pemikiran strategik, serta intipati daripada karya penulisan beliau yang menekankan
nilai integriti dan daya juang tinggi bagi wanita dalam mengungguli pelbagai bidang.

Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah menyatakan inisiatif ini merupakan platform wacana intelektual yang kritikal dalam menilai isu semasa dan membedah buku-buku inspirasi tokoh negara.

Beliau turut mengharapkan agar Siri Telaah ini yang memberi inspirasi kepimpinan kepada warga universiti dan komuniti wanita di Sarawak terus menjadi jenama intelektual kampus itu.

Selain warga kampus, program ini turut dihadiri wakil dari Persatuan Wanita UNIMAS, Dayak Bidayuh National Association, BAKAT TUDM, PEWANI UiTM,
Purplelily Social Organisation Kuching, Persatuan Pembangunan & Ekonomi Sosial Wanita Asia Pasifik (PPSEAWA) Cawangan Sarawak, PERASA UiTM Sarawak dan JKK Kampung Empila.