SARATOK: Sambutan Hari Sarawak tahun ini membawa khabar gembira untuk penduduk Rumah Panjang Mujah di Lubok Nibong apabila projek menaik taraf sistem bekalan elektrik mula dilaksanakan.
Projek itu memasuki fasa awal menerusi lawatan dan siasatan tapak oleh kontraktor berlesen (ATT) bagi menilai keperluan teknikal sebelum kerja-kerja naik taraf dimulakan.
Skop projek merangkumi kerja menaik taraf sistem pendawaian dalaman serta pendawaian elektrik utama di seluruh rumah panjang bagi memastikan bekalan elektrik lebih selamat dan stabil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri turut turun padang meninjau lokasi selain bertemu penduduk bagi mendapatkan maklum balas mengenai pelaksanaan projek tersebut.
Beliau turut mempengerusikan sesi dialog bersama penduduk bagi memberi penerangan mengenai proses kerja naik taraf serta menjawab pelbagai persoalan berkaitan pelaksanaannya.
Menurut Mohamad Duri, projek itu disegerakan susulan permohonan rasmi daripada Tuai Rumah Mujah yang membangkitkan isu keselamatan pendawaian di rumah panjang berkenaan.
“Sistem pendawaian sedia ada yang telah digunakan hampir 20 tahun tidak lagi mampu menampung peningkatan penggunaan peralatan elektrik dalam kalangan penduduk.
“Kerja menaik taraf itu amat penting bagi mengurangkan risiko lebihan beban elektrik dan litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran serta mengancam keselamatan penghuni,” katanya.
Mohamad Duri berharap kerjasama erat antara penduduk, kontraktor ATT dan Sarawak Energy Berhad (SEB) dapat memastikan projek berkenaan berjalan lancar sekali gus memberikan manfaat jangka panjang kepada komuniti Rumah Panjang Mujah.
