Penerima kunci Rumah Spektra Permata lega, terima kasih Kerajaan Sarawak

KABONG: Seramai 34 penerima pemilik Rumah Spektra Permata (RSP) Hulu Kabong menarik nafas lega apabila menerima replika kunci kediaman masing-masing dalam satu majlis penyerahan rasmi di Dewan Balai Polis Kabong, pagi tadi.

​Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.

​Dalam ucapannya, Chee Kadir menegaskan bahawa program RSP merupakan inisiatif strategik Kerajaan Sarawak untuk memastikan rakyat, terutama di luar bandar, mampu memiliki kediaman sendiri yang selesa dan berkualiti tinggi.

​Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas visi perumahan inklusif, serta memuji kerjasama erat antara agensi seperti Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Jabatan Tanah dan Survei dalam menjayakan projek ini.

​Projek di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) ini melibatkan pembinaan unit rumah sesebuah dengan keluasan 800 kaki persegi, yang direka secara moden merangkumi tiga bilik tidur, dua bilik air, dan kemudahan asas yang lengkap.

​Menariknya, kediaman ini dibina menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan skor melebihi 73 peratus, sekali gus menjamin kualiti struktur yang lebih kukuh serta tempoh pembinaan yang lebih efisien berbanding kaedah konvensional.

Harga rumah yang ditawarkan adalah antara RM90,000 hingga RM160,000 dengan ansuran bulanan yang rendah, selain sokongan deposit RM10,000 melalui Skim Bantuan Deposit Perumahan dan Bayaran Balik (HDRAS).