ENGKILILI: Kerajaan Sarawak setakat ini memperuntukkan lebih RM900 juta bagi projek pembangunan menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA).
Pengerusinya, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, ini dari peruntukan berjumlah RM1.4 bilion yang telah diluluskan Kerajaan Sarawak bagi melaksanakan 70 projek pembangunan merangkumi infrastruktur, pertanian, ekonomi dan sosial.
“Setakat ini lebih RM900 juta diberikan untuk membiayai projek tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Jerayawara SADA Bersama Masyarakat Engkilili di Dewan Serba Guna MDLA, Engkilili, dekat sini.
Rohani berkata, peruntukan juga digunakan untuk membangunkan infrastruktur pelancongan di kawasan Gunung Lesung Kompleks Ekopelancongan dan Kompleks Ekopelancongan Taman Negara Batang Ai.
