Premier Sarawak berjumpa dengan Presiden, Naib Canselor LSE

LONDON: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama delegasi kerajaan negeri mengadakan pertemuan bersama Presiden dan Naib Canselor London School of Economics and Political Science (LSE), Larry Kramer di sini.

Pertemuan itu bagi membincangkan peluang kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak.

Pertemuan pada Khamis waktu tempatan merupakan peluang strategik untuk menjalin kerjasama dengan kepimpinan salah sebuah institusi terkemuka dunia dalam bidang ekonomi, dasar awam dan kelestarian.

Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha meneroka kerjasama jangka panjang di antara Kerajaan Sarawak dan LSE.

Kerjasama strategik ini khususnya dalam bidang pendidikan eksekutif untuk perkhidmatan awam dan institusi berkaitan kerajaan, laluan pengajian pascasiswazah dan biasiswa bagi pelajar Sarawak, penyelidikan bersama, jalinan institusi dan pertukaran akademik serta peluang penglibatan LSE dalam agenda iklim, tenaga dan kelestarian Sarawak.

Jalinan kerjasama strategik ini menyerlah komitmen Sarawak untuk membina kerjasama akademik bertaraf global yang dapat menyokong aspirasi pembangunan mampan, kepimpinan dasar dan pembangunan modal insan negeri.

Turut sertai ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak.