Projek infrastruktur pertanian Stumbin dijangka siap 2027

LINGGA: Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus membangunkan infrastruktur pertanian di kawasan Stumbin.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, antaranya KPKM sedang dalam proses melaksanakan projek pembinaan dan naik taraf infrastruktur di blok A dan B, Stumbin.

“Projek dengan anggaran kos sebanyak RM19 juta dijangka siap pada 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis mantar Gawai anjuran Pusat Khidmat Parlimen P.201 Batang Lupar dan DUN N.28 Lingga di Rumah Florence, Stumbin, di sini.

Shafizan Kepli berkata, difahamkan melalui projek seperti Smart Sawah berskala besar menggunakan kaedah pertanian moden, penuaian padi kini sudah boleh dilakukan di luar musim di kawasan itu.

Katanya, sekiraya projek itu berjaya, musim menuai padi boleh dilakukan sehingga dua atau tiga kali setahun yang menguntungkan penduduk Stumbin.