KOTA SAMARAHAN: Projek Pembangunan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak (Pakej 1) membabitkan kos sebanyak RM18.68 juta di sini, dijangka siap sepenuhnya pada 23 Mei 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, projek ini bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan sekitar Kota Samarahan termasuk di DUN Stakan.
“InI khususnya dalam kawasan Jalan Dato Mohd Musa sekitar Muara Tuang Park, Taman Univista, Unisquare,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah PLSB Sungai Sarawak Pakej 1 di Muara Tuang Park, di sini, hari ini.
Hamzah berkata, projek melibatkan kerja menarik taraf sistem saliran di Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Tuang dan Jalan Kuching-Samarahan Expressway serta mendalamkan dan melebarkan Sungai Tabuan.
Projek akan dilaksanakan oleh kontraktor Edaran Venture Sdn. Bhd. yang menang tender dan bermula pada 24 Mei ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah JPS Malaysia Mejar (Kehormat) Datuk Ir. Dr. Ahmad Anuar Othman, Pengarah Pengairan dan Saliran Sarawak, Datuk Ir. Technologist Ahmad Denney Ahmad Fauzi; Pengarah Saliran Mesra Alam, JPS Malaysia Ir. Anita Ainan.
