Projek SMK Sri Sadong siap lebih awal

SIMUNJAN: Projek pembinaan gantian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sadong bernilai RM28.73 juta yang siap telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan, di sini, semalam.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek diamanahkan kepada Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan dilaksanakan kontraktor dilantik iaitu Welfield Services Sdn. Bhd serta dimulakan 17 Mac 2022 dan berjaya disiapkan tahun ini.

“Saya difahamkan projek ini dapat disiapkan awal dari jadual asal atau AOT (Ahead of Time),” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penyerahan projek itu di SMK Sri Sadong di sini, hari ini.

Alexander berkata inilah semangat yang sentiasa ingin beliau lestarikan dalam kalangan kakitangan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensinya supaya menjadi budaya kecemerlangan di setiap masa dan disemua projek yang diamanahkan.

Menurutnya, antara skop utama projek melibatkan pembinaan satu blok akademik merangkumi 12 bilik darjah, bengkel elektrik/elektronik, bengkel pembuatan, makmal komputer, makmal sains, makmal kimia, makmal biologi, makmal fizik, bilik pendidikan khas, satu blok kantin, lima unit rumah guru kelas F dan pelbagai kemudahan sokongan lain.

“Projek ini membuktikan usaha berterusan Kerajaan MADANI bagi meningkatkan ekosistem pembelajaran dan pengajaran negara melalui pembinaan infrastruktur pendidikan yang moden, berkualiti dan kondusif,” tambahnya.

Beliau juga meminta JKR Malaysia untuk terus memantau dan bekerjasama dengan kontraktor dalam melunaskan tanggungjawab menyelesaikan aduan kecacatan seberapa segera dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP).

“Kontraktor diingatkan agar terus berpegang pada amanah dan tanggungjawab,” tambahnya.