Pusat Kesihatan Prima UNIMAS dijangka beroperasi September ini

SAMARAHAN: Pusat Kesihatan Prima Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, siap dibina dan dijangka mula beroperasi September tahun ini.

Pusat kesihatan harian itu merupakan Fasa Satu Projek Pembinaan dan Penyiapan Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan Prima UNIMAS yang akan menjadi hospital pengajar pertama di Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pusat terbabit akan beroperasi sebagai tempat pembelajaran bagi pelajar perubatan di UNIMAS.

“Pusat ini dijangka beroperasi September tahun ini sebagai tempat pembelajaran perubatan, tetapi saya juga difahamkan sebagai klinik kesihatan dan pesakit luar boleh datang ke sini untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan projek siap Fasa Satu Projek Pembinaan dan Penyiapan Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan Prima UNIMAS, di sini, hari ini.

Penyerahan itu bagi membolehkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai pemilik projek dan UNIMAS menempatkan dan melakukan pengujian semua peralatan perubatan diperlukan sebelum memulakan operasi secara rasmi yang akan dinyatakan UNIMAS.

Alexander berkata, Pusat Kesihatan Prima UNIMAS itu mengendalikan kes kesihatan tidak kritikal dan ada kemudahan bilik X-Ray, klinik batuk, klinik mata, klinik warga, makmal perubatan serta bilik pemeriksaan kesihatan awam.

Menakala fasa dua pula ialah pembinaan bangunan utama Hospital Pengajar UNIMAS berkeupayaan 300 katil yang bakal menyediakan perkhidmatan pakar seperti General Medicine, General Surgery, Orthopaedics, Paediatrics, Obstetrics and Gynecology, Psychiatry, Rehabilitation, Ophthalmology, Otorhinolaryngology (Kepala dan Leher) serta perkhidmatan Kecemasan.

“Penyiapan fasa itu sudah 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun depan,” tambahnya.

Beliau berkata, kos projek keseluruhan bernilai RM485.988 juta dan terletak di kawasan seluas 27.37 ekar. Fasa satu seluas 11.57 ekar (lebih empat hektar) dan fasa dua (15.8 ekar – lebih enam hektar) .

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Mohamad Azhan Md Amir.