KUCHING: Sebanyak 13 projek di bawah sektor Pembangunan Pelancongan dan Persekitaran Agensi Pembangunan Bahagan Betong (BDDA) berharga RM98.9 juta telah diluluskan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sektor Pembangunan Pelancongan dan Persekitaran BDDA, Mohd Chee Kadir berkata daripada jumlah tersebut, RM30 juta diluluskan untuk melaksanakan dua projek di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar.
Peruntukan berjumlah RM28.4 juta untuk melaksanakan lima projek di DUN Kabong, RM20.5 juta di DUN Beting Maro dan RM20 juta DUN Bukit Saban, katanya ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja sektor pembangunan pelancongan dan persekitaran BDDA di Bangunan Baitulmakmur, di sini hari ini.
Chee Kadir berharap kesemua projek itu nanti akan memberi manfaat kepada masyarakat dalam sektor pelancongan di bahagian Betong.
“Saya berharap dengan kerjasama semua ADUN bersama agensi pelaksana untuk turun padang berterusan bagi memantau pelaksanaannya,” katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dan agensi berkaitan.
