Lembaga Pemuliharaan Toronto Kanada tertarik dengan usaha Sarawak

KANADA: Lembaga Pemuliharaan Toronto dan Wilayah (TRCA) Kanada tertarik dengan pelan perlindungan dan pemuliharaan Sarawak yang dikongsikan bersama pada sesi libat urus dan mahu berkolaborasi dalam pelan pelaksanaannya.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian semasa mengetuai rombongan Sarawak melawat TRCA di sini semalam.

Lawatan itu sebagai tanda aras untuk mempelajari cara terbaik melindungi dan memulihara bekas tapak lombong batu dan pasir.

TRCA bertanggungjawab melindungi dan memulihara ekosistem bagi mengekal serta melindung tadahan air di Toronto, mengamalkan pendekatan bersepadu dengan melaksanakan projek pembangunan berimpak rendah seperti taman pemuliharaan, kemudahan sukan dan rekreasi melalui kerjasama awam dan swasta.

Sejak 1957, TRCA melalui Akta Lembaga Pemuliharaan wilayah telah mengambil langkah meningkatkan usaha melindungi alam semula jadi dan tanah di Ontario, air dan masyarakat daripada kesan banjir dan cuaca panas.

Awang Tengah ditemani Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan beberapa pegawai kanan kerajaan.