18 rumah panjang dibaik pulih

TANJUNG MANIS: Sebanyak 208 pintu rumah panjang di kawasan Parlimen Tanjung Manis berjaya dibaik pulih melalui Program Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) tahun ini.

Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab berkata, projek itu melibatkan 18 buah rumah panjang di kawasan Sare Utara, Tengah dan Selatan, Kerapa dan Kerubong.

Pelaksanaan projek secara gotong royong oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang itu bermula awal tahun lalu dan siap sepenuhnya menjelang sambutan Gawai, katanya dalam siri lawatan meraikan Gawai Dayak di beberapa rumah panjang di sini.

Sepanjang sambutan Gawai, Yusuf mengambil kesempatan menyantuni penduduk rumah panjang di kawasannya melalui Program Pengerami Hari Gawai sekali gus membuka peluang untuk merapatkan hubungan dengan rakyat sambil menyelami masalah mereka.

Antara komponen yang dibaikpulih termasuklah atap, lantai, dinding, pintu, tingkap, tandas dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif yang diperkenalkan kerajaan melalui skim balik pulih rumah untuk rakyat kurang berkemampuan khususnya di Parlimen Tanjong Manis bukan bermusim.

Menurutnya, program yang bertujuan meringankan beban pemilik rumah itu dilaksanakan dari semasa ke semasa namun mengikut keperluan dan syarat tertentu.

“Ini membuktikan kebajikan rakyat tidak diabaikan malah, usaha yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak amat signifikan dalam membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman yang selamat dan selesa.

“Program ini sebahagian usaha kerajaan untuk membantu kumpulan sasar yang mempunyai rumah daif serta tidak selamat untuk didiami,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yusuf juga memaklumkan, lebih banyak projek pembangunan akan dilaksanakan kerajaan demi kesejahteraan penduduk di kawasan parlimen itu.

Selain projek itu katanya, kerajaan juga memperuntukkan RM520,000 untuk projek baik Pulih Tadika Sungai Teras Sare dan RM100,000 masing-masing bagi pembinaan jambatan gereja dari rumah Jerah Jonathan dan naik taraf jalan menghubung rumah panjang Sare Utara.

“Peruntukan yang disediakan bukan hanya dari Kerajaan Persekutuan seperti Projek Mesra Rakyat (PMR) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP), tetapi juga Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dari Kerajaan Sarawak.

“Justeru, saya ingin mengingatkan penduduk yang belum mendapat projek supaya bersabar untuk menunggu pelaksanaannya di kawasan mereka,” katanya.

Hadir sama, Dr Udie Salleh yang mewakili Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.