RM4.7 bilion projek pembangunan dilaksana di Sarikei

SARIKEI: Sebanyak RM4.7 bilion diperuntukkan bagi 239 projek pembangunan di bahagian ini menerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), RMK-12, Pembiayaan Alternatif dan Projek Rakyat.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, jumlah itu merangkumi 34 projek RADDA, 63 projek RMK-12, 114 projek Alternative Funding dan 28 Projek Rakyat yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi masyarakat.

“Penubuhan RADDA yang diumumkan Premier Sarawak pada 19 Jun 2022 membabitkan peruntukan RM1.5 bilion menggunakan pendekatan bottom up berdasarkan keperluan sebenar komuniti.

“Ia terus memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi di Bahagian Sarikei,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei 2026, di sini, hari ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan program tersebut.

Beliau berkata, antara projek utama ialah pembinaan Pusat Pentadbiran Moden Sarikei bernilai RM149 juta serta Jalan Sarikei-Tanjung Manis dan Jambatan Tuanku Haji Bujang bernilai RM322 juta yang siap sepenuhnya pada 17 Mei 2025.

Menurutnya, Jambatan Tuanku Haji Bujang memberi perubahan besar kepada jaringan perhubungan apabila tempoh perjalanan dari Kuala Rajang, Pulau Bruit, Daro dan Matu ke Sarikei kini dipendekkan daripada dua hingga tiga jam kepada sekitar 30 hingga 45 minit.

“Penyiapan Jambatan Tuanku Haji Bujang menjadi impian warga Bahagian Sarikei dan Kuala Rajang, malah manfaatnya turut dirasai masyarakat di seluruh Wilayah Tengah termasuk Sibu, Mukah, Kapit, Betong dan Sri Aman,” tambahnya.

Dalam pada itu, Len Talif berkata Sarikei turut mempunyai potensi besar dalam ekonomi berasaskan alam sekitar menerusi Bukit Sebangkoi Nature Reserve dan Taman Negara Hutan Bakau Rajang seluas 9,373 hektar, selain kajian perdagangan karbon melalui Projek Karbon Biru di Kuala Rajang.

Beliau turut memohon pertimbangan Kerajaan Sarawak untuk membina sebuah stadium tertutup atau kompleks sukan serta mewujudkan pusat pendidikan tinggi, kampus cawangan atau institusi latihan teknikal baharu di Sarikei atau Tanjung Manis bagi memenuhi keperluan sukan dan pendidikan teknikal belia tempatan.