KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus menyuarakan hak negeri ini bagi penambahan kerusi Parlimen, susulan proses kajian semula persempadanan yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, perkara tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan kira-kira dua minggu lalu bersama Menteri Kerja Raya yang juga Setiausaha Agung Parti Gabungan Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
“Kami membangkitkan isu ini bagi membolehkan cadangan berkaitan dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan.
“Sarawak tidak berdiam diri dalam memperjuangkan hak negeri, khususnya mengambil kira keluasan Sarawak yang hampir menyamai Semenanjung Malaysia,” katanya.
Nancy berkata demikian selepas merasmikan Kursus Kemahiran Quick Win Masakan Pastri RMKe13 di Kolej Komuniti Santubong, di sini , hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, sebelum ini terdapat khabar yang Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR) mempamerkan cadangan persempadanan untuk mendapatkan maklum balas dan bantahan sebelum proses seterusnya dilaksanakan.
“Penambahan kawasan Parlimen penting bagi memastikan setiap kawasan mendapat perwakilan yang lebih berkesan sekali gus membantu pembangunan negeri.
“Cadangan turut melibatkan P193 Santubong, dengan beberapa kawasan DUN dicadangkan untuk ditukar susunan persempadanannya,” katanya.
Untuk rekod, Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
