SARIKEI: Sarikei mempunyai potensi muncul ssbagai hab ekonomi baharu Sarawak susulan pembangunan infrastruktur serta pengembangan sektor pelancongan dan ekonomi karbon.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pembangunan yang dilaksana sejak 2020 hingga 2025
meningkatkan kesalinghubungan Sarikei dengan kawasan Tanjung Manis, sebahagian Daro dan Igan.
Katanya, pembangunan infrastruktur khususnya jaringan jalan raya menjadi antara pemangkin utama kepada pergerakan ekonomi di kawasan berkenaan.
“Seperti yang saya sebutkan tadi, Sarikei dihubungkan dengan Tanjung Manis dan juga sebahagian daripada bahagian Daro serta Igan.
“Maknanya semua pembangunan infrastruktur mencapai sasaran kita,” katanya pada program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 di Sarikei, hari ini.
Abang Johari berkata, Sarikei turut mempunyai keunikan tersendiri berikutan kewujudan kawasan hutan bakau yang luas dan berpotensi menjadi aset penting dalam ekonomi karbon.
Menurutnya, hutan bakau memainkan peranan penting dalam penyimpanan karbon, khususnya ketika dunia berdepan cabaran perubahan iklim.
“Bahagian Sarikei ini agak unik sebab mempunyai banyak kawasan hutan bakau, hutan bakau ini sangat penting dalam penyimpanan karbon.
“Dalam ekonomi global hari ini disebabkan perubahan iklim, Sarikei mempunyai satu aset penting Taman Negara Hutan Bakau yang menjadi kaedah untuk penyimpanan karbon,” katanya.
Abang Johari berkata, sektor pelancongan turut dikenal pasti sebagai antara bidang yang berpotensi untuk dikembangkan di kawasan Sarikei dan sekitarnya.
Katanya, program Sarawakku Sayang turut menjadi platform bagi kerajaan mendapatkan maklum balas terkini daripada masyarakat mengenai keperluan dan aspirasi mereka.
