KUCHING: Sebanyak 18 kawasan di Sarawak dijangka terjejas jerebu rentas sempadan dalam tempoh beberapa hari akan datang dengan kualiti udara diramal merosot di beberapa lokasi.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC), Datuk Amar Douglas Uggah berkata, keadaan itu berpunca daripada corak tiupan angin yang membawa asap daripada titik panas di wilayah jiran masuk ke Sarawak.
“Kepekatan PM2.5 tidak sihat diramal berlaku di Miri dan Serian pada 8 Ogos, diikuti Betong (9 Ogos),” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.
Kawasan yang dikenal pasti terjejas ialah Betong, Bintulu, Daro, Julau, Kanowit, Kuching, Lundu, Marudi, Miri, Mukah, Pakan, Samarahan, Saratok, Serian, Sibu, Simunjan, Song, Sri Aman dan Tatau.
Douglas menasihatkan orang ramai memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), mengurangkan aktiviti luar terutama senaman berat serta menutup pintu dan tingkap ketika keadaan jerebu bertambah buruk.
“Orang ramai perlu memakai pelitup muka yang sesuai ketika berada di luar, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, selain mendapatkan rawatan jika mengalami kesukaran bernafas, sakit dada atau batuk berterusan,” ulasnya.
Douglas turut mengingatkan bahawa pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak, yang boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Sehubungan itu, sebarang kes pembakaran terbuka boleh dilaporkan kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) menerusi 082-447 488 atau 082-319 500.
