Kursus kemahiran bantu jana ekonomi wanita

SANTUBONG: Usaha memperkasakan wanita menerusi peningkatan kemahiran dan ekonomi terus menjadi keutamaan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, penganjuran program kemahiran masakan seperti yang dilaksanakan pelbagai pihak dilihat antara langkah terbaik bagi tujuan tersebut.

Tegasnya, apabila kemahiran berjaya dijadikan sumber pendapatan, ia bukan sahaja membantu meningkatkan taraf hidup keluarga, malah membuka peluang untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.

“Program ini memberi fokus kepada kemahiran masakan, selain mendedahkan peserta kepada aspek kualiti produk, perancangan kewangan, pemasaran dan penjualan secara dalam talian.

“Peserta bukan sahaja diberi latihan bagi meningkatkan kemahiran, malah turut dibekalkan peralatan supaya kemahiran yang dipelajari dapat digunakan untuk menjana pendapatan,” katanya.

Nancy berkata demikian semasa merasmikan Kursus Kemahiran Quick Win Masakan Pastri RMKe13 di Kolej Komuniti Santubong, di sini, hari ini.

Program selama tiga hari bermula semalam hingga esok anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan kerjasama Kolej Komuniti Santubong.

Seramai 10 peserta wanita dari kawasan parlimen Santubong menyertai kursus.