SARIKEI: Kejayaan teknologi penanaman padi Sarawak yang menarik minat Indonesia dan Brunei membuktikan potensi besar inovasi pertanian negeri itu untuk dikembangkan di peringkat serantau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, minat negara jiran itu turut disusuli Kedah dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mahu meninjau kaedah penanaman padi yang sedang dilaksanakan Sarawak.
Menurutnya, perkembangan itu mencerminkan potensi teknologi pertanian Sarawak untuk dikongsi dengan pihak lain, khususnya dalam menghadapi cabaran meningkatkan pengeluaran makanan dan menjamin bekalan beras.
“Bukan sahaja Indonesia dan Brunei, malah Kerajaan Negeri Kedah serta UPM juga menyatakan keinginan untuk datang ke Sarawak,” katanya pada Majlis Makan Malam Pemimpin bersama Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat Bahagian Sarikei, di sini malam tadi.
Abang Johari berkata, antara teknologi yang menjadi perhatian ialah kaedah ratoon, yang membolehkan pokok padi tumbuh semula selepas dituai dan menghasilkan tuaian baharu dalam tempoh kira-kira tiga bulan.
Katanya, percubaan di Kuala Baram menunjukkan potensi memberangsangkan apabila sehingga 14 tan padi mampu dihasilkan daripada satu hektar dalam dua musim.
Beliau berkata, usaha itu penting kerana Sarawak kini hanya menghasilkan kira-kira 21 peratus daripada keperluan beras negeri.
Justeru, inovasi pertanian perlu diperkasa bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar serta menghadapi risiko perubahan iklim dan gangguan bekalan makanan global.
