Runtuhan batu ikonik di Taman Negara Bako fenomena alam

SIBU: Kejadian runtuhan batu tunggul yang terkenal dari segi pelancongan di perairan Taman Negara Bako baru-baru ini amat menyedihkan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, struktur batu ikonik itu telah runtuh atau jatuh ke laut kemungkinan Selasa atau hari sebelumnya.

“Saya mendapat makluman daripada Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan pihak media berhubung perkara yang amat menyedihkan ini, terutama dari prespektif pelancongan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan Cina Sibu (UCA), malam tadi.

Karim berkata, batu ikonik itu memainkan peranan penting dalam pengiktirafan Bako sebagai Taman Negara pertama Sarawak pada 1957.

“Batu ikonik ini adalah tempat yang mesti dikunjungi di Taman Negara Bako, menarik pengunjung untuk peluang bergambar yang tidak dapat dilupakan,”katanya.

Beliau menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu fenomena alam yang tidak dapat dihindari dan akan berusaha mencari dalam kawasan Taman Negara Bako khazanah semulajadi lain yang boleh dipertengahkan sebagai ikonik untuk dilawati oleh pelancong.

Gambar: Sarawak Forestry Corporation