SIBU: Pelan pembangunan semula bandar Sibu akan mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk dilaksanakan.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan negeri akan memperuntukkan dana bagi mengubah semula wajah Sibu.
Katanya, pelbagai perancangan sudah dirangka untuk menjadikan Sibu sebagai Bandar Pintar.
“Saya berjanji kepada anda, saya komited terhadapnya, bahawa Sibu akan menjadi seperti Amsterdam di Belanda,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 Persatuan Cina Bersatu Sibu di Kingwood Hotel Sibu malam tadi.
Katanya, untuk mengubah Sibu memerlukan khidmat pakar kerana struktur geografi bandar itu yang terletak di bawah paras sungai.
Menurut Premier, kerajaan negeri mengambil inspirasi dari Singapura yang dulunya diliputi paya namun kini muncul sebagai sebuah negara yang maju selepas penstrukturan semula negara tersebut.
Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, serta Menteri Pelancongan, Seni Budaya Malaysia Dato Sri Tiong King Sing.
