Daerah Kabong bakal miliki kompleks sukan

KABONG: Pembinaan kompleks sukan bagi daerah Kabong telah diluluskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, ini melalui peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) melebihi RM30 juta.

“Kita bakal ada sebuah stadium terbuka dan sebuah stadium tertutup untuk kegunaan rakyat dan belia amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan sepak mula perlawanan akhir Pertandingan Piala ADUN Kabong di Padang Pejabat Daerah Kabong di sini.

Chee Kadir berkata, kompleks sukan terbabit dilihat mampu memenuhi aspirasi masyarakat di kawasan terbabit khususnya golongan muda.

“Saya mewakili penduduk Kabong mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sentiasa mengambil berat keperluan belia di Sarawak khasnya DUN Kabong,” tegasnya.