LIMBANG: Kompleks Sukan Limbang perlu peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menaik taraf keseluruhan trek dan balapan yang usang.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi projek tersebut.
Katanya, jumlah itu bagaimanapun tidak mencukupi mengikut perkiraan Majlis Daerah Limbang iaitu agensi dipertanggungjawabkan melaksanakan projek terbabit.
“Kita memerlukan lebih kurang RM1 juta,” katanya pada perlawanan akhir Liga Limbang di kompleks Sukan Limbang di sini, semalam.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, kompleks sukan terbabit sangat penting kerana menjadi venue utama program kesukanan peringkat daerah hingga kebangsaan.
Turut hadir ialah Residen Limbang, Yunus Tambi dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Limbang (LFA) Frederick Lalung.
