SABATI pendamping masyarakat

LAWAS: Selama 42 tahun kewujudan Persatuan Tenaga Amal Isteri-isteri Menteri Sarawak (SABATI) telah banyak menyumbang kepada kebajikan, kesihatan, pendidikan dan segala aspek keperluan rakyat di Sarawak.

Timbalan Presiden SABATI Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud berkata, SABATI yang diasas oleh Allahyarhaman Datuk Amar Laila Taib atas saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad pada 1982 akan terus menjadi pendamping kepada masyarakat.

“Pada 1990an, SABATI telah membantu kanak-kanak yang ada masalah jantung berlubang dan daripada sini ia berjaya kepada penubuhan Yayasan Jantung Sarawak (YJS) yang masih wujud hingga hari ini,” katanya pada program memacu kehidupan penyerahan keperluan perubatan asas klinik desa-Klinik Kesihatan Sundar Lawas anjuran Petronas dengan kerjasama SABATI di Klinik Kesihatan Sundar Lawas baru-baru ini.

Selain itu, pada 1990an juga SABATI telah berjaya membeli mesin pengimbas Magnetic Resonance Imaging (MRI) pertama di Sarawak melalui kutipan derma amal berjumlah RM1.1 juta dan tambahan RM1 juta daripada Kerajaan Sarawak, katanya.

Beliau berkata, malahan peralatan moden untuk rawatan mata bernilai lebih RM200,000 juga telah dibeli oleh SABATI dan alat ini hanya ada tiga di negara ini iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak.

Beliau mengucap terima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan Sarawak yang telah menyumbang RM1.3 juta kepada SABATI semasa majlis perasmian bangunan SABATI di Kuching, baru-baru ini.

Sumbangan itu telah dan akan diguna secara telus dan adil untuk meningkatkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Mekanikal (STEM) di sekolah-sekolah terpilih seluruh Sarawak, tegas beliau.