Polis lupus dadah bernilai RM2.6 juta

KUCHING: Polis Sarawak melupuskan pelbagai jenis dadah termasuk air dan daun ketum dianggarkan bernilai RM2.6 juta yang dirampas dari 2017 sehingga kini.

Pesuruhjaya Polis Datuk Mancha Ata berkata, ia dilupuskan setelah mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding yang sudah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman dikenakan ke atas pesalah kes terbabit berakhir.

“Pelupusan hari ini membabitkan 7,478 kes di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952 yang telah selesai siasatan dan perbicaraan mahkamah melibatkan 20 daerah di Sarawak,” katanya pada sidang media di IPK Sarawak di sini.

Menurut Mancha, antara barang kes yang dilupuskan adalah serbuk ekstasi seberat 23,168.66 gram, syabu 17,131.03 gram, ganja 12,293.46 gram serta daun ketum seberat 8,500 gram.

“Jenis dadah lain adalah pil erimin 52,421.01 gram, pil nospan 1,982.64 gram, ketamin 724.95 gram, pil ekstasi 1,132.38 gram, air ketum 85.70 liter dan 6,585 botol urin,” katanya.

Tambah Mancha, pelupusan barang kes menggunakan kaedah logi rawatan termal (Insinerator) oleh syarikat Trienekens Sarawak Sdn Bhd. dan mengikut Peruntukan Seksyen 604A, 406A dan 407 Kanun Prosedur Jenayah.