KUCHING: Tujuh acara utama akan berlangsung di sekitar bandar raya ini sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-78 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan itu akan berlangsung mulai 10 hingga 13 Oktober depan.
“Ia termasuk majlis kesyukuran; khutbah khas; majlis kesyukuran agama-agama lain; istiadat perbarisan dan rapat raksasa; Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri; majlis jamuan negeri serta majlis jamuah teh.
“Sementara Majlis Seni Sarawak (MSS) selaku agensi peneraju menyusun pelbagai persembahan merangkumi persembahan pembukaan oleh 50 pelajar dengan membawa lagu Dirgahayu oleh Faizal Tahir dan Dayang Nurfaizah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-78, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tahun 2024 di sini, hari ini.
Tambah Abdul Karim merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan, persembahan kebudayaan iaitu Rampaian Etnik Kreatif yang bakal dipersembahkan oleh 100 orang, mencampurkan enam suku kaum dari seluruh Sarawak.
“Acara-acara itu bakal diserikan dengan kehadiran Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, barisan kabinet negeri serta dan tetamu-tetamu kenamaan yang lain,” katanya.
Terdahulu, beliau memberitahu, kesemua acara yang diadakan kelak disusun dan diatur oleh Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) selaku penganjur utama.
Bermula pada jam 6 petang 10 Oktober akan diadakan majlis kesyukuran bertempat di Masjid Jamek, diikuti khutbah khas pada waktu solat jumaat, 11 Oktober yang diadakan serentak di masjid seluruh Sarawak.
“Sementara majlis kesyukuran agama-agama lain bakal berlangsung pada jam 8 malam, 11 Oktober bertempat di Hotel Riverside Majestic melilbatkan seramai 750 kehadiran tetamu jemputan.
“Untuk acara istiadat perbarisan dan rapat raksasa, ia akan diadakan pada 12 Oktober bermula jam 8 pagi dan akan dibarisi oleh kontinjen-kontinjen negeri. Orang ramai dialu-alukan untuk hadir menyaksikan program yang berlangsung di Padang Merdeka ini.
“Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak, beliau memberitahu ia bakal berlangsung pada jam 11.30 pagi, 12 Oktober di Astana Negeri.
“Majlis jamuan negeri pula bakal diadakan pada jam 8 malam hari yang sama bertempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
“Sambutan perayaan diakhiri dengan majlis jamuan teh pada 10 pagi, 13 Oktober di Hotel Riverside Majestic,” katanya.
