Ordinan Buruh Sarawak ke Parlimen

KUCHING: Ordinan Buruh Sarawak akan dibentangkan di Persidangan Parlimen pada hujung tahun ini yang memberi hak dan perlindungan saksama dengan pekerja di Semenanjung Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, Sim Chee Keong berkata, ini adalah satu berita baik buat golongan pekerja di Sarawak.

“Satu berita baik untuk pekerja khususnya di Sarawak atas usaha, dukungan dan sokongan Premier Sarawak,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak juga bersetuju untuk membentangkan Ordinan Buruh Sarawak itu di Persidangan Parlimen.

Chee Keong turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak, kerana telah memastikan Ordinan Buruh Sarawak dapat diselaraskan dengan Akta Kerja 1955 seperti akta kerja di Semenanjung Malaysia.

Katanya, Abang Johari telah banyak membangkitkan isu tentang keperluan untuk tenaga kerja mahir khususnya dalam sektor tenaga, peralihan, aeroangkasa dan penerbangan.

“Justeru, ia memerlukan latihan kemahiran bagi memupuk bakat-bakat khususnya anak Sarawak dan anak Malaysia dalam sektor terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kunjungan hormat itu bertujuan mengadakan kolaborasi antara Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan Kerajaan Sarawak untuk menambah baik pendidikan kemahiran di Sarawak dan Malaysia.

Chee Keong kemudian menghadiri Majlis Penyerahan Cek kepada Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di Juma’ani Pavilion di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *