Anjung Kasih YKN keempat Sarawak di Hospital Bintulu

BINTULU: Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang keempat di Sarawak akan dibina di Hospital Bintulu di sini.

Penubuhan anjung kasih itu menerima tajaan sepenuhnya dari syarikat Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dan akan menyediakan 67 katil pesakit serta fasiliti seperti bilik penginapan, ruang solat, ruang rehat, bilik mandi, tandas, dan ruang makan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, berkata pembinaan anjung kasih terbabit tidak melibatkan bangunan baharu, sebaliknya menggunakan bangunan sedia.

“Proses tender untuk pembinaan sedang dijalankan dan tarikh operasi akan ditetapkan selepas itu,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman(MoU) penubuhan Anjung Kasih YKN Hospital Bintulu.

Mou terbabit ditandatangani antara Ketua Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani di perkarangan lobi Hospital Bintulu, di sini, hari ini.

Nancy juga menjelaskan bahawa pesakit yang memerlukan kemudahan anjung kasih itu bukan sahaja dari kawasan Bintulu, tetapi juga kawasan lain seperti Belaga dan Mukah.