KUCHING: Sarawak berjaya membuktikan kepada Eropah bahawa penggunaan kuasa boleh dikurangkan untuk penghasilan hidrogen.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini daripada sebanyak 60 kilowatt-jam (kWj) kepada 38 kWj yang dikatakan mustahil.
“Saya berada di Eropah dan pihak mereka di sana menyatakan perkara tersebut mustahil untuk dikurangkan tapi Sarawak membuktikan kita dapat lakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis perasmian Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Abang Johari berkata, APGH 2024 penting untuk berkongsi tentang kejayaan Sarawak terbabit yang menjadi platform kepada syarikat mahupun pihak berkepentingan dalam penglibatan industri tenaga hijau.
Di majlis itu, beliau turut menyaksikan Memorandum Kolaborasi antara OCBC dan InvestSarawak dan Momerandum Persefahaman (MoU) antara Ice Petroleum dan SEDC Energy.
Di samping itu, pertukaran dokumen antara ACWA Power dan SEDC Energy, Planet QEOS, KIS Group dan SALCRA, UNIMAS dan H2Energy, Brooke Holding dan SLB, SEDC Sarawak dan SMBC serta Gentari Synergy dan SEDC Energy.
Terdahulu dalam ucapan beliau, Abang Johari berkata, Sarawak berhasrat membangunkan sumber tenaga hidrogen kompetitif menjelang 2030 dan mengetuai wilayah ini dalam peralihan ekonomi dipacukan oleh hidrogen.
Katanya, Sarawak berada di hadapan dalam ekonomi hidrogen dan menjadi perintis pengeluaran hidrogen pertama Asia Tenggera, kemudahan stesen pengisian dan menggerakkan aliran rapid autonomos berkuasa hidrogen pertama dunia.
“Sarawak akan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Tenaga Bersih di sini untuk mengurus dan sebagai bukti komitmen dalam inovasi dan kemajuan sektor tenaga bersih,” katanya.
Bertemakan ‘Hidrogen Hijau: Strategi Sarawak Untuk Masa Depan Mampan’ persidangan dan pameran selama tiga hari itu adalah yang pertama dianjurkan di Malaysia dan rantau ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari menjelaskan Kerajaan Korea Selatan serius untuk membantu Sarawak dalam membangunkan industri hidrogen dengan menaja geran pengajian berprestij daripada Kementerian Ekonomi dan Kewangan negara berkenaan.
Katanya, geran kepada Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak itu bagi memajukan Sarawak dalam ekonomi hidrogen.
Katanya, jalinan kerjasama itu bertujuan meneroka strategi inovatif untuk pengeluaran dan penggunaan hidrogen.
“Pemberian ini akan membolehkan kami memulakan kajian teroborasan untuk membangunkan Pelan Hala Tuju Hidrogen Sarawak iaitu satu pelan tindakan komprehensif untuk memanfaatkan potensi besar tenaga hidrogen di negeri kita,” katanya.