KUCHING: Sarawak mengenal pasti potensi kerjasama bagi amalan terbaik dalam sektor perlombongan dengan Kanada, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Perkara tersebut didedahkan beliau selepas mengetuai delegasi dari Sarawak mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Tenaga, Perlombongan dan Inovasi Karbon Rendah negara itu di Victoria Kanada, semalam.
Menjelas lanjut, katanya kerjasama itu akan mengkhusus kepada dasar dan peraturan bagi memulihkan kawasan kuari serta perlombongan yang terbiar.
“Kanada terkenal sebagai negara perlombongan terkemuka untuk pembangunan rantaian nilai dan industri lain yang berkaitan.
“Sektor perlombongan di British Columbia merupakan salah satu aktiviti ekonomi utama wilayah itu, didorong oleh sektor swasta.
“Sektor ini telah menyumbang kira-kira 30 peratus daripada pertumbuhan ekonomi tempatan dan menggaji lebih 35,000 tenaga kerja. Perbelanjaan cari gali mineral bernilai CAD$740 juta,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini.
Kementerian Tenaga, Perlombongan dan Inovasi Rendah Karbon Kanada merupakan kementerian yang bertanggungjawab ke atas elektrik, tenaga alternatif, perlombongan dan sumber-sumber petroleum selain memain peranan penting dalam menyokong usaha British Columbia mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
