KUCHING: Selain memelihara warisan budaya Sarawak, seni sulaman keringkam juga boleh dijadikan aspek dalam kemahiran kerjaya usahawan tempatan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, ia susulan seni sulaman itu dapat menjana sumber pendapatan kerana tudung dan selendang boleh dijual pada harga puluhan ribu ringgit.
“Seni keringkam boleh dijadikan aspek kemahiran yang bukan sahaja mengekalkan warisan, malah melahirkan usahawan,” katanya pada Program WINS di pusat beli-belah Mydin Petra Jaya, di sini.
Rubiah yang juga Ahli Parlimen Samarahan berkata, input yang dikongsikan sepanjang Program Wanita Inspirasiku (WINS) dijadikan pendorong dan pencetus semangat kepada usahawan terutama di luar bandar.
Justeru, beliau berharap agar melalui sesi perkongsian panel usahawan dan klinik latihan, usahawan baharu diharapkan dapat menimba ilmu untuk meningkatkan taraf kualiti dan pasaran produk mereka.
Berhubung program berkenaan, Rubiah berkata, antara objektif penganjurannya adalah meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar walaupun dalam program yang berskala kecil.
“Malah, saya difahamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) telah melaksanakan Kursus Kemahiran Quick Win selama tiga hari dengan peserta-peserta kursus akan dibekalkan ‘Kit Peralatan’ bagi memulakan perniagaan,” katanya.
Hadir sama, Ketua Pengarah Kemas Malaysia Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawai; Pengarah Kemas Sarawak Anisah Saidin dan Pengarah Bahagian Pendidikan Kemahiran KEMAS Dr Zainal Abidin Ali.
–
