Sarawak pantau rapi individu masuk ke Sarawak

KUCHING: Sarawak juga mempunyai kuasa eksklusif terhadap hal ehwal buruh berkaitan pekerja bukan pemastautin, demikian persidagan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) mewajibkan semua majikan mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Sarawak sebelum mengaji pekerja bukan pemastautin.

Katanya, selain autonomi imigresen,Sarawak juga mempunyai kuasa eksklusif terhadap hal ehwal buruh berkaitan pekerja bukan pemastautin. Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) mewajibkan semua majikan mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Sarawak sebelum mengaji pekerja bukan pemastautin.

“Ini terpakai kepada semua entiti yang beroperasi di Sarawak. Kepatuhan kepada undang-undang Sarawak adalah asas yang perlu dipatuhi dan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak, kerana tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulungkan perbahasan bagi pihak kementeriannya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, untuk mencapai matlamat menjadikan Sarawak sebagai sebuah wilayah maju dan makmur, aspek keselamatan dan kedaulatan merupakan aspek yang amat penting dan mesti dijaga sebaik – baiknya.

Katanya, ini termasuk memastikan rakyat kita hidup dalam suasana yang tenteram dan bebas daripada ancaman. Pada masa sama, kedaulatan Sarawak juga mesti dijaga untuk menjamin keupayaan Sarawak dalam menentukan sendiri hala tuju pembangunan tanpa campur tangan daripada pihak luar.

Menurutnya, perkara-perkara ini merupakan asas penting bagi mewujudkan kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial di Sarawak.

Sehubungan ini, katanya, salah satu langkah utama untuk memelihara keselamatan dan kedaulatan Sarawak adalah dengan membuat pemantauan rapi dan berterusan terhadap kemasukan individu atau entiti luar yang datang ke Sarawak untuk tujuan pekerjaan atau menjalankan aktiviti ekonomi.

“Pihak-pihak ini perlu mematuhi undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Sarawak serta undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Ini bagi memastikan hak dan kepentingan rakyat Sarawak sentiasa dilindungi dan terpelihara.

“Undang-undang yang telah kita gubal bertujuan memelihara keharmonian, melindungi sumber asli serta memastikan segala kegiatan ekonomi dan sosial adalah selaras dengan aspirasi Sarawak. Oleh itu, semua pihak yang datang ke Sarawak perlu memahami dan menghormati peraturan ini yang merupakan autonomi Sarawak,” katanya.

Abdul Karim menjelaskan, perkara berkaitan autonomi Imigresen Sarawak secara kukuhnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 161E(4) dan Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, autonomi ini merangkumi hak eksklusif Kerajaan Sarawak untuk mengatur dan mengawal kemasukan individu ke Sarawak, demi melindungi keselamatan, kebajikan dan kepentingan rakyat kita. Hak ini jugak untuk memastikan kawalan imigresen kekal di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak.

“Autonomi ini bukan hanya sekadar prosedur urusan imigresen, tetapi juga merupakan pengiktirafan terhadap kedudukan unik Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. Justeru, autonomi ini adalah hak yang tidak boleh dirunding kerana mencerminkan kedudukan unik Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memperkukuh lagi autonomi ini. MA63 bukan hanya dokumen sejarah malah ia adalah komitmen murni untuk menegakkan hak-hak khas dan unik Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), yang menjadi panduan kepada penggubalan MA63, secara jelas menekankan pentingnya Sarawak mengekalkan kawalan terhadap imigresen sebagai langkah melindungi budaya, sosial dan ekonominya.

“Peruntukan ini adalah asas penting dan kekal sebagai teras utama dalam tadbir urus Sarawak,” katanya.