Sarawak perlukan 500 jurutera bidang semikonduktor, reka bentuk cip

KUCHING: Sarawak memerlukan lebih 400 jurutera dalam bidang semikonduktor dan reka bentuk cip bagi memenuhi sasaran melahirkan seramai 500 jurutera atau pereka cip dalam industri itu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata setakat ini, Sarawak hanya mempunyai 25 pereka cip namun yakin jumlah itu akan meningkat.

‘’Sarawak memerlukan 500 jurutera tetapi ketika ini, kita hanya mempunyai 25 pakar dan lebih 400 lagi diperlukan. Jadi belia-belia di Sarawak ini nanti akan menjadi jurutera yang boleh membuat rekaan cip.

“Manalah tau nanti kita akan mempunyai syarikat kapal terbang yang menggunakan cip ini nanti,’’ katanya semasa sesi Townhall Tujuh Tahun Bersama YAB Premier Sarawak, di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab dikendalikan oleh Munawar Sayed Mustar bersama dua lagi moderator, Profesor Datuk Dr Siva Pandian dan Mona Abdul Manap.

Sementara itu kata Abang Johari, persepsi negatif terhadap pekerjaan melibatkan sektor pertanian perlu dihapus untuk membangunkan industri makanan Sarawak.

Katanya, persepsi tersebut akan menghalang individu untuk melibatkan diri dalam bidang berkenaan.

“Untuk pelan jangka pendek kita tubuhkan agensi pembangunan dan berikan peruntukan. Untuk pelan jangka panjang, persepsi ‘petani itu miskin’ perlu diubah,’’ katanya.