Orang ramai dipelawa saksikan Termasya Sukan Sarawak mulai 15 Januari ini

SIBU: Orang ramai dijemput menyaksikan sebanyak 13 acara sukan yang dipertandingkan di 12 lokasi berasingan pada Termasya Sukan Sarawak (SUKSAR) Ketiga di Sibu mulai 15 hingga 18 Januari ini.

Jawatankuasa Induk SUKSAR, Mikar Changgan berkata, kehadiran orang ramai akan membangkitkan lagi semangat atlet untuk bertanding.

Katanya, setakat ini semua atlet dari keempat-empat zon telah mendaftar di perkampungan sukan di Desa Sanyan.

“Lebih kurang 1,200 atlet dan jurulatih termasuk pegawai telah mendaftar di Desa Sanyan mulai semalam. Dan, hari ini kita difahamkan zon Barat telah mendaftar tengah hari tadi,” katanya semasa Dry Run SUKSAR Ke-3 di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.

Katanya, kira-kira 200 sukarelawan dipilih dan dilatih untuk membantu dari segi pelbagai aspek, pertandingan dan pengurusan sepanjang SUKSAR ini.

Acara sukan tersebut melibatkan 12 lokasi berasingan yang telah ditetapkan iaitu bersikal akan diadakan di Sibujaya, Jalan Julau dan Taman Jublee Bukit Aup.

Angkat Berat (Dewan Melayu Melanau Sibu (Dewan MBB), Bola Tampar (Stadium Bola Tampar Taman Rajang Sibu), Bola Keranjang (Gelanggang Bola Keranjang KRT Sungai Antu Sibu).

Futsal Lelaki/Wanita (Gelanggang Futsal Kampung Nangka), Sepak Takraw (Dewan Sepak Takraw Kampung Bandong Sibu), Hoki (Stadium Tertutup Bukit Lima Sibu), Wushu (SMK Wong Nai Siong).

Taekwando (Stadium Tertutup Sibu), Tinju (Stadium Tertutup Sibu) dan Judo (Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim Sibujaya), Karate (Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim Sibujaya) dan Silat (Dewan MUC Kampung Nyabor Sibu).