MUKAH: Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong inisiatif yang mengekalkan budaya warisan, selain memacu pembangunan ekonomi rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, melalui dasar Sarawak Maju Makmur, pembangunan negeri ini yang bersifat inklusif, lestari, dan berpaksikan rakyat terus diperkasakan tanpa mengabaikan nilai budaya yang menjadi teras kepada perpaduan masyarakat.
Katanya, sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, warisan semula jadi dan sejarah yang unik, Kerajaan Sarawak berusaha memperkasa industri pelancongan sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri ini.
“Antara inisiatif utama yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk Pemerkasaan Pelancongan Berasaskan Komuniti yang memberi peluang kepada masyarakat luar bandar, terutamanya kaum pribumi, untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem pelancongan melalui homestay, kraftangan, makanan tradisional dan pengalaman budaya tempatan.
“Selain itu, inisiatif lain adalah Pelaburan Dalam Infrastruktur Pelancongan termasuk menaik taraf kemudahan di destinasi utama seperti taman negara, kawasan pantai dan rumah panjang selain tebingan sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis perasmian Kaul Mukah 2025 di Tapak Kaul Mukah, Pantai Kala Dana hari ini.
Bagi merangsang lagi sektor pelancongan negeri, kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) turut mengatur pelbagai acara ikonik untuk menarik pengunjung ke negeri ini.
Menurut Abang Johari, antara acara yang dianjurkan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), Borneo Jazz Festival dan What About Kuching (WAK) yang telah mengangkat Sarawak ke pentas dunia sebagai destinasi pelancongan berbudaya tinggi.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine; ADUN Daro, Safiee Ahmad; ADUN Jepak, Iskandar Turkee; serta tetamu kehormat lain.
