Sarawak tuntut kerusi Parlimen ditambah – Sharifah Hasidah

KUCHING: Sarawak akan terus menuntut untuk menambahkan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat menyatakan bila ia dapat dicapai.

“Saya tidak boleh nyatakan bila ia akan tercapai, tetapi kita akan terus menuntut hak itu,” katanya semasa soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata, harapan Kerajaan Sarawak supaya tuntutan itu akan dipenuhi bagi menjamin perwakilan seimbang di Parlimen sejajar dengan semangat penubuhan Malaysia pada 1963.

Hasidah menegaskan, Kerajaan Sarawak mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya menambahkan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak sehingga 35 peratus.

Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), katanya, jelas menyatakan peraturan perlembagaan termasuk menjaga kepentingan khas Sabah dan Sarawak yang meliputi perkara wakil di Parlimen dan kebebasan beragama boleh disusun semula.

Beliau menegaskan, kertas cadangan untuk menambah kerusi wakil rakyat Sarawak di Parlimen telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Rakan Sekutu pada 23 Ogos 2022, yang dpengerusikan oleh Menteri Undang-undang ketika itu.

“Susulan daripada pertukaran Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak terus membuat tuntutan ke atas perkara berkenaan di bawah Majlis Tindakan Perlaksanaan Perjanjian Malaysia yang baharu ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau menambah, mesyuarat pertama majlis itu diadakan pada 23 Januari 2023.

Adalah diputuskan perkara berkenaan dibincangkan lanjut dalam jawatankuasa kerja yang diketuai oleh bahagian hal ehwal undang-undang Jabatan PerdanaMenteri,katanya.

Hasidah menegaskan, jawatankuasa kerja itu telah bermesyuarat dua kali dan kertas cadangan terbabit turut dikemuka dan dibincangkan.